Setelah berbagai usaha
oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan menghapuskan penyebaran agama Islam
menemui kegagalan, maka Abu Jahal semakin benci terhadap Rasulullah Shallallahu
Alaihi wa Sallam. Kebencian Abu Jahal ini tidak ada tolok bandingnya, malah
melebihi kebencian Abu Lahab terhadap Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam.
Melihatkan agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun
berkata kepada kaum Quraisy di dalam suatu perhimpunan, "Hai kaumku!
Janganlah sekali-kali membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran barunya dengan
sesuka hatinya. Ini adalah kerana dia telah menghina agama nenek moyang kita,
dia mencela tuhan yang kita sembah. Demi Tuhan, aku berjanji kepada kamu sekalian,
bahwa esok aku akan membawa batu ke Masjidil Haram untuk dibalingkan ke kepala
Muhammad ketika dia sujud. Selepas itu, terserahlah kepada kamu semua samada
mahu menyerahkan aku kepada keluarganya atau kamu membela aku dari ancaman kaum
kerabatnya. Biarlah orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang mereka
sukai."
Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang
ramai yang menghadiri perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya,
"Demi Tuhan, kami tidak akan sekali-kali menyerahkan engkau kepada
keluarga Muhammad. Teruskan niatmu."
Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga
mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Abu Jahal bahwa dia akan menghapuskan
Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi Muhammad Shallallahu
Alaihi wa Sallam bererti akan terhapuslah segala keresahan dan kesusahan mereka
selama ini yang disebabkan oleh kegiatan Rasulullah Shallallahu Alaihi wa
Sallam menyebarkan agama Islam di kalangan mereka.
Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah
mengira-ngira perbelanjaan untuk mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad
Shallallahu Alaihi wa Sallam berjaya dihapuskan.
Pada pandangan mereka adalah mudah untuk membunuh Nabi
Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Esa
serta sekalian penghuni langit. Padahal Allah tidak akan sekali-kali membiarkan
kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti binatang.
Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi, Abu
Jahal pun terus pergi ke Kaabah iaitu tempat biasa Nabi Muhammad Shallallahu
Alaihi wa Sallam bersembahyang. Dengan langkahnya seperti seorang satria, dia
berjalan dengan membawa seketul batu besar di tangan sambil diiringi oleh
beberapa orang Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia mengajak kawan-kawannya
ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia akan menghempapkan batu itu di atas
kepala Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam.
Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan
Nabi Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia tersenyum
sendirian apabila membayangkan kepala Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa
Sallam pecah dan tidak bergerak lagi. Dan juga membayangkan bagaimana kaum
Quraisy akanmenyambutnya sebagai pahlawan yang telah berjaya membunuh musuh
nombor satu mereka.
Sebaik saja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram,
dilihatnya Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam baru saja sampai dan hendak
mengerjakan sembahyang. Dalam pada itu, Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa
Sallam tidak menyedari akan kehadiran Abu Jahal dan kawan-kawannya di situ.
Baginda tidak pernah terfikir apa yang hendak dilakukan oleh Abu Jahal terhadap
dirinya pada hari itu.
Sebaik-baik saja Abu Jahal melihat Rasulullah Shallallahu
Alaihi wa Sallam telah mula bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan dari
arah belakang menuju ke arah Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam. Abu
Jahal melangkah dengan berhati-hati, setiap pergerakannya dijaga, takut
disadari oleh baginda.
Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan perasaan
cemas bercampur gembira. Dalam hati mereka berkata, "Kali ini akan
musnahlah engkau hai Muhammad."
Sebaik saja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad
Shallallahu Alaihi wa Sallam dan menghayun batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba
secepat kilat dia berundur ke belakang. Batu yang dipegangnya juga jatuh ke
tanah. Mukanya yang tadi merah kini menjadi pucat lesi seolah-olah tiada
berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk melihat Nabi Muhammad
Shallallahu Alaihi wa Sallam terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.
Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat
melangkahkan kaki walaupun setapak. Melihatkan keadaan itu, rakan-rakannya
segera menarik Abu Jahal dari situ sebelum disadari oleh baginda. Abu Jahal
masih terpinga-pinga dengan kejadian yang dialaminya.
Sebaik saja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi,
rakan-rakannya tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah
berlaku. Kawannya bertanya, "Apakah sebenarnya yang terjadi kepada engkau,
Abu Jahal? Mengapa engkau tidak menghempapkan batu itu ke kepala Muhammad
ketika dia sedang sujud tadi?"
Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin
keheranan. Abu Jahal yang mereka kenali selama ini seorang yang lantang
berpidato dan menyumpah seranah Nabi Shallallahu Alaihi wa Sallam, tiba-tiba
saja diam membisu.
Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan
kejadian yang baru menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa
yang dilihatnya, malah dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan
berulang menimpa dirinya.
Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu Rasulullah
Shallallahu Alaihi wa Sallam pergi ke rumah Abu Jahal apabila seorang Nasrani
mengadu kepada baginda bahwa Abu Jahal telah merampas hartanya. Pada masa itu
Abu Jahal tidak berani berkata apa-apa pada baginda apabila dia terpandang dua
ekor harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah Shallallahu Alaihi wa Sallam.
Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan
berbagai persoalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara, "Wahai sahabatku!
Untuk pengetahuan kamu semua, sebaik saja aku menghampiri Muhammad hendak
menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta yang besar
hendak menendang aku. Aku amat terkejut kerana belum pernah melihat unta yang
sebegitu besar seumur hidupku. Sekiranya aku teruskan niatku, nescaya akan
matilah aku ditendang oleh unta itu, sebab itulah aku berundur dan membatalkan
niatku."
Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar penjelasan
itu, mereka tidak menyangka orang yang selama ini gagah dan beria-ia hendak
membunuh Nabi Muhammad Shallallahu Alaihi wa Sallam hanya tinggal kata-kata
saja. Orang yang selama ini diharapkan boleh menghapuskan Nabi Muhammad
Shallallahu Alaihi wa Sallam dan pengaruhnya hanya berupaya bercakap seperti tin
kosong saja.
Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak
memuaskan hati itu, maka mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan perasaan
keheranan, "Ya Abu Jahal, semasa kau menghampiri Muhammad tadi, kami
memerhatikan engkau dari jauh tetapi kai tidak napak akan unta yang engkau
katakan itu. Malah bayangnya pun kami tidak nampak."
Rakan-rakan
Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan yang diberikan oleh Abu Jahal.
Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa mereka-reka cerita yang karut itu, mereka
mula hilang kepercayaan terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka
tidak berapa endahkan lagi.
maaf yee...terdegar bayak hadist tentang ini...tetapi..kebanyakn tentang abu jahal yg akan terbelah yaa kalau laa kaki ya smpai ke bahagian kepala nabi muhammad.....mungkin lepas ini lelak sekali hadist yaa bang supayaa senang orng baca terima kasih atas kongsian
BalasHapus